Bangunan Lembaga Tabung Haji di Jalan Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Kadar penolakan tawaran haji sebanyak 50 peratus sebagaimana yang dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar semalam adalah merujuk kepada data musim haji 1446H/2025M dan bukannya musim haji akan datang.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataannya menjelaskan, analisis terhadap jumlah penolakan pada musim haji lalu menunjukkan punca utama penolakan adalah tahap simpanan pendeposit yang rendah, sekali gus menjejaskan kelayakan mereka untuk menerima tawaran mengerjakan ibadah haji.

Katanya, bagi memastikan keadaan sama tidak berulang pada musim 1447H/2026M, TH telah mempertingkat usaha mengingatkan bakal jemaah seawal Ogos 2025 agar membuat persediaan rapi dari segi kewangan, kesihatan dan ilmu pengetahuan.

“Usaha proaktif ini merupakan sebahagian daripada inisiatif peremajaan jenama TH dan sehingga kini menunjukkan perkembangan positif.

“Pada masa ini, tawaran haji bagi musim 1447H/2026M masih dikeluarkan secara berperingkat kepada bakal jemaah.

“TH turut menjangkakan kadar penolakan tawaran haji bagi musim akan datang adalah lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, hasil peringatan awal serta kempen simpanan yang berterusan,” demikian menurut kenyataan itu.

TH menegaskan, bakal jemaah perlu memastikan simpanan minimum RM15,000 di akaun masing-masing untuk melayakkan mereka menerima tawaran atau membuat rayuan haji.

Pada masa sama, TH menggalakkan semua bakal jemaah mengamalkan tabiat menyimpan secara berkala dan sistematik serta menjaga kesihatan diri sebagai persediaan menunaikan rukun Islam kelima itu.

Semalam, Mohd Na’im dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman sesawang Parlimen memaklumkan, Sebanyak 53 peratus dari 9.7 juta pendeposit TH hanya mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 dan ini tidak mencukupi untuk menunaikan haji.

Katanya, pada masa sama, 50 peratus jemaah haji bagi tahun 2025 yang terpilih telah menolak tawaran tunai haji atas faktor masalah kewangan.

Tambah beliau, mengambil kira kesemua faktor ini dan berdasarkan data dan trend kajian yang teliti telah dilaksanakan, TH perlu mengambil langkah strategik dengan melaksanakan inisiatif bagi memastikan agensi kekal relevan khususnya untuk menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji.

“Justeru, inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan TH sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam Malaysia.

“Matlamat inisiatif ini adalah untuk menyusun semula strategi bagi meningkatkan kembali paras simpanan individu pendeposit yang kini amat rendah.

“Bagi tiga tahun terkini, simpanan terkumpul hanya meningkat melalui pelaburan semula agihan keuntungan dan bukan secara organik,” katanya seperti dilaporkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast