Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Penularan sebuah video memaparkan seorang individu melakukan pergerakan seperti bersilat di sebuah tanah perkuburan Islam di Johor mencetuskan pelbagai persoalan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang boleh mengundang salah faham serta menyinggung perasaan waris si mati.

“Tindakan ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan adab serta sensitiviti di kawasan perkuburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyambut baik tindakan pantas Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid yang meminta Pejabat Kadi Daerah Kluang menjalankan siasatan bagi memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab, syarak atau ketenteraman awam serta memahami keadaan sebenar individu terlibat.

“Tanah perkuburan bukan lokasi untuk perbuatan yang boleh mengundang salah faham, mengganggu ketenteraman, atau menyinggung perasaan waris si mati,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohd Na’im menegaskan keperluan untuk semua pihak bersikap berempati kerana tidak menolak kemungkinan individu berkenaan memerlukan bantuan psikososial atau intervensi daripada pihak berkuasa atau keluarganya.

Menurut beliau, siasatan yang dijalankan perlu merangkumi aspek kebajikan dan keselamatan individu, bukan sekadar aspek adab semata-mata, agar isu ini dapat ditangani secara menyeluruh dan berhemah.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar tidak membuat spekulasi melampau, memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa agama Islam Negeri serta mengutamakan hikmah dan budi bicara ketika mengulas di media sosial.

“Pihak kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor dan jabatan agama Islam Johor untuk memastikan perkara ini ditangani dengan penuh berhemah, demi kesejahteraan bersama, selaras dengan semangat Malaysia Madani,” ujarnya.

Sebelum itu, tular video berdurasi 28 saat yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki seakan bersilat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast