Sekumpulan rakyat Myanmar ditangkap Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika cuba meloloskan diri melalui sempadan Malaysia-Thailand. 23 NOVEMBER 2025. Gambar ihsan PGA.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan aktiviti pendatang asing tanpa izin (PATI) rakyat Myanmar yang cuba meloloskan diri ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC), Shahrum Hashim berkata, kejayaan itu berikutan penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang dipercayai menjadi perantara bagi menyeludup 36 rakyat Myanmar.

Mereka terdiri daripada 30 lelaki dan enam wanita dengan lingkungan umur antara 17 tahun dan 47 tahun.

Lelaki tempatan ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai pengantara bagi menyeludup masuk 36 rakyat Myanmar ke negara ini. 23 NOVEMBER 2025 (Gambar ihsan Pasukan Gerakan Am (PGA).

Menurut beliau, lelaki itu ditangkap di kawasan kebun getah berhampiran Jalan Utama Chuping-Padang Besar semasa Cawangan Risik Batalion 2 melakukan tugasan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis.

“Bertindak atas rondaan risikan dan pemantauan di sekitar sempadan negara, pasukan risik menjumpai 36 lelaki dan wanita sedang menyorok dalam semak di dalam kebun getah berkenaan.

“Soal siasat oleh pasukan serbuan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan kesemua individu yang ditahan dipercayai warganegara Myanmar berdasarkan pengakuan,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Ujar Shahrum, pasukan itu kemudian menahan seorang lelaki dipercayai bertindak sebagai pengantara yang sedang menunggu di tepi jalan besar Jalan Chuping-Padang Besar bersama sebuah van.

Menurut beliau, soal siasat awal ke atas lelaki berkenaan mendapati dia sedang menunggu kesemua pendatang itu untuk dibawa ke satu lokasi yang akan ditentukan kemudian. Dia kemudian mengaku menjadi pengantara.

Antara yang dirampas termasuk sebuah van jenis Nissan Urvan dan 36 buah telefon bimbit pelbagai jenis melibatkan keseluruhan nilai anggaran RM122,660.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 26A Akta AntiPemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Siasatan juga dijalankan di bawah seksyan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ke atas semua kemasukan PATI yang juga memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan.

Menurut kenyataan itu, Briged Utara PGA sedang memperketat kawalan dengan mempertingkat rondaan di kawasan hutan, tembok dan pagar sempadan terutamanya musim tengkujuh yang mungkin membuka peluang mereka untuk lolos masuk ke sempadan negara.

Katanya, penggunaan teknologi seperti dron juga kerap digunakan di kawasan-kawasan yang dipercayai menjadi laluan bagi mengekang kemasukan di kawasan sempadan.

“Masyarakat diseru supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang- undang,” demikian menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast