GEORGE TOWN – Tiga pengarah sebuah syarikat makanan berasaskan Timur Tengah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan gagal menyerahkan dokumen yang diminta oleh pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Tertuduh, Nooraishah Hazis, 56, Mohd Zamberi Mohd Soriji, 53, masing-masing warga tempatan serta Mahmoud Sheikh Al Basatna, 30, warga Syria, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.
Ketiga-tiga mereka yang merupakan pengarah Alshhba Group Sdn. Bhd. (No. SST P11-2308-32000005) didakwa mengingkari Seksyen 57(2) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 apabila gagal mengemukakan dokumen yang diminta bagi tujuan audit.
Mereka turut didakwa di bawah Seksyen 57(4)(a), dibaca bersama Seksyen 78 Akta yang sama, dengan hukuman di bawah Seksyen 79 Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada 1 Mei lalu di Kompleks Kastam Seberang Jaya, Cawangan Audit Import dan SST, Bahagian Pematuhan, Seberang Perai Tengah dekat sini.
Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM30,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu Nooraishah yang mewakili syarikat, mengaku tidak bersalah selepas turut berdepan tuduhan sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Mohd Safwan Fathy Yahaya manakala ketiga-tiga tertuduh hadir tanpa wakil peguam.
Difahamkan, terdapat tiga dokumen yang masih gagal diserahkan iaitu laporan audit tahunan, lejar am (general ledger) dan invois jualan, yang diperlukan untuk melengkapkan semakan dan memastikan rekod kewangan syarikat disahkan dengan tepat.
Mahkamah menetapkan 19 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette















