Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli

KUALA LUMPUR – Terdapat ketidakseimbangan ketara dalam penguasaan pasaran industri kurier sehingga menekan syarikat tempatan, khususnya pemain kecil dan sederhana.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli berkata, kaedah ‘predatory pricing’ atau perang harga melampau semakin ketara apabila terdapat syarikat besar menawarkan caj serendah RM2 hingga RM3 meskipun kos sebenar penghantaran sebuah bungkusan kecil dianggarkan RM2.50.

“Ini bermakna ada syarikat sanggup menjual di bawah kos semata-mata untuk memusnahkan pesaing dan menguasai pasaran.

“Pemain kecil terpaksa ‘bakar duit’ untuk bertahan, dan keadaan ini tidak mampan dalam jangka panjang. Garis Panduan Harga Rujukan 2022 yang wujud hari ini hanya bersifat rujukan dan tidak mandatori,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi, di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsulkahar turut menegur amalan ‘masking’ dalam sesetengah platform e-dagang, yang menyembunyikan identiti syarikat kurier serta menetapkan penghantaran kepada satu pihak secara eksklusif.

Amalan itu, katanya, mengunci pasaran, membunuh persaingan dan memberi kelebihan tidak adil kepada satu atau dua pemain utama.

Menurutnya, malah risiko lebih besar bakal timbul apabila monopoli mula terbentuk.

“Harga rendah yang dinikmati pengguna hari ini hanyalah sementara. Apabila pasaran dikuasai satu atau dua syarikat, harga boleh melonjak, kualiti perkhidmatan merosot dan pilihan pengguna semakin terhad.

“Pekerja-pekerja ini juga berisiko menerima komisen lebih rendah apabila kuasa tawar-menawar hilang, sekali gus menjejaskan kesejahteraan tenaga kerja dalam industri yang menjadi nadi ekonomi digital negara itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan langkah segera bagi menangani perang harga melampau, termasuk pertimbangan menetapkan harga lantai atau melaksanakan kawal selia mandatori bagi memastikan persaingan kekal sihat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerajaan akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap dakwaan perjanjian eksklusif antara platform e-dagang besar dan sebuah syarikat kurier yang didakwa menyebabkan pemain lain kehilangan jumlah bungkusan dalam skala besar.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) sekiranya amalan eksklusif itu disahkan menjejaskan pasaran.

“Kerajaan perlu menstruktur pelesenan kurier, termasuk kawal selia kemasukan pemain luar, bagi memastikan persaingan kekal adil dan tidak menjejaskan kelangsungan syarikat tempatan,” -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast