KUALA LUMPUR – Seorang wartawan sukan, Haresh Deol mengalami kecederaan selepas diserang tiga lelaki tidak dikenali di Jalan Maarof berhampiran pusat beli belah di Bangsar, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4 petang tadi.
“Berdasarkan laporan, tiga suspek melibatkan dua lelaki telah memukul mangsa ketika dia berjalan di kaki lima menghala ke Jalan Telawi berhampiran parkir Bangsar Village 3.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, tangan dan badan kerana terjatuh semasa cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, pegawai penyiasat akan memohon perintah untuk menyiasat (OTI) esok daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan kebenaran untuk menjalankan siasatan lanjut.
“Polis kini sedang giat mengesan dan mengenal pasti kesemua suspek yang terlibat. Siasatan ini akan dibuat mengikut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mohd Adnan Alias di talian 0192162272.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan kepada Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.,” katanya. – MalaysiaGazette
















