JOHOR BAHRU – Siasatan telus dan menyeluruh berhubung serangan ganas terhadap wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol, semalam perlu dilakukan.
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman berkata, perkara tersebut tidak boleh dibiarkan dan pihak polis perlu mengenal pasti semua suspek terlibat dalam insiden tersebut.
Tegas beliau, perlu dipastikan mereka dihadapkan ke muka pengadilan dengan hukuman yang setimpal.
“Insiden yang melibatkan tiga individu tersebut bukan sahaja mencabar keluhuran undang-undang, malah merupakan satu perbuatan yang sama sekali tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat yang menjunjung nilai keamanan serta kebebasan media.
“Serangan yang berlaku telah menyebabkan Haresh mengalami kecederaan pada bahagian muka, tangan dan badan selepas beliau terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejadian itu amat membimbangkan kerana melibatkan seorang pengamal media yang selama ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.
Tindakan seperti itu katanya, bukan sahaja menggugat keselamatan wartawan, tetapi memberi isyarat buruk kepada perkembangan amalan kewartawanan bebas di negara ini.
“Pejuang Johor berpendirian bahawa apa jua bentuk keganasan, lebih-lebih lagi terhadap wartawan yang sedang menjalankan tugas, tidak boleh sekali-kali dibiarkan atau dipandang ringan,” katanya.
Nornekman berkata, institusi media perlu dilindungi, sebagaimana langkah yang diambil di seluruh dunia.
“Kami juga menyeru masyarakat untuk terus menghormati peranan wartawan dan media sebagai penghubung penting antara rakyat dan maklumat,” ujarnya.
Kejadian itu harus dijadikan peringatan bahawa keselamatan petugas media adalah tanggungjawab bersama-sama dan tidak wajar sesiapa mengambil undang-undang di tangan sendiri, tambah beliau.
“Pejuang Johor berdiri teguh bersama Haresh Deol dan seluruh warga media, serta berharap agar beliau segera pulih daripada kecederaan dialami,” tambahnya.
Semalam, Haresh Deol yang juga Pengarang Urusan portal berita Twentytwo13, mendakwa diserang dua individu yang tidak dikenali, ketika di Bangsar, Kuala Lumpur.
Dalam perkongsian ringkas dalam media sosialnya, pengamal media itu, yang terkenal atas kelantangan beliau mengecam ‘skandal’ yang dikaitkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), telah diserang dengan salah seorang daripada dua individu tersebut merakam serangan berkenaan.
Menerusi artikel Twentytwo13 bertajuk Fifa exposes FAM’s shame, Malaysians deserve answers, Haresh menyifatkan pendedahan FIFA sebagai tamparan hebat kepada Malaysia, mengutuk mentaliti “kami tahu apa yang terbaik” dalam FAM dan menuntut bukti sahih warisan pemain.
Beliau menegaskan bahawa isu tersebut bukan sekadar teknikal tetapi melibatkan pemalsuan dokumen dan kegagalan institusi.
Haresh juga menzahirkan pandangan bahawa apabila perkataan seperti ‘forgery’ dan ‘citizenship’ muncul bersama-sama, ia bukan lagi isu bola sepak semata-mata tetapi soal kepercayaan awam terhadap badan sukan.
Pada 10 Oktober lalu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa terdapat ‘individu berpengaruh’ di sebalik skandal pemalsuan dokumen pemain import skuad Harimau Malaya yang ‘dilondehkan’ Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini.
Kontroversi itu timbul selepas pihak berkuasa bola sepak Vietnam meragui asal usul tujuh pemain import dalam skuad kebangsaan.
Laporan FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak pernah menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah tujuh pemain berkenaan, sebaliknya hanya mengeluarkan salinan berdasarkan maklumat sekunder dan dokumen luar negara.- MalaysiaGazette















