AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa membuka siasatan baharu berhubung skandal FIFA dan FAM berikutan laporan jawatankuasa badan induk bola sepak dunia itu pada 3 November lepas menjatuhkan maruah negara.

Beliau berkata, dapatan dalam laporan jawatankuasa itu dercanggah dengan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini bahawa tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan.

“Laporan Jawatankuasa Rayuan itu amat memalukan reputasi dan integriti negara,” katanya ketika berucap pada perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau mempersoalkan sama ada KDN akan mengarahkan siasatan terperinci bagi mendedahkan dalang skandal tersebut.

Ramkarpal turut mempersoalkan bagaimana tujuh pemain terbabit boleh mendapat pasport Malaysia sedangkan mereka masih memegang pasport antarabangsa negara masing-masing.

“Bukankah ini bercanggah dengan dasar Malaysia yang melarang kewarganegaraan dua kali?” katanya sambil menambah adakah KDN akan menarik balik pasport Malaysia pemain-pemain tersebut berdasarkan penemuan dalam laporan FIFA itu.

Ramkarpal yang membangkitkan insiden serangan terhadap wartawan sukan veteran, Haresh Deol bertanya sama ada ia mempunyai kaitan dengan isu-isu yang dibangkitkan Haresh dalam laporan dan komentarnya mengenai bola sepak tempatan.

“Serangan terhadap seorang wartawan sukan yang lantang menulis tentang isu bola sepak tanah air adalah sesuatu yang amat membimbangkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ramkarpal menggesa PDRM menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus bagi memastikan motif serangan tersebut dan mengenal pasti pelaku dihadapkan ke mahkamah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast