SEBERANG PERAI – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menyalurkan peruntukan RM207,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Mertajam bagi meningkatkan kemudahan pembelajaran digital sekolah berusia 61 tahun itu.
Peruntukan tersebut merangkumi RM107,000 sumbangan tahun 2024 yang telah digunakan untuk projek Digital STEM Classroom Fasa 1 melibatkan pemasangan smartboard dan alat penyaman udara.
Manakala bagi tahun ini, sekolah tersebut menerima RM100,000 lagi untuk meneruskan Fasa 2 projek sama.

Dalam lawatan tidak rasmi itu, Pengetua sekolah, Saniza Matt Lazim bersama Yang Dipertua Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG), S. Sivaji Arumugam turut mengemukakan beberapa permohonan tambahan.
Susulan itu, Steven Sim memberikan komitmen baharu berjumlah RM200,000 bagi pembelian smartboard tambahan dengan matlamat melengkapkan semua bilik darjah sekolah tersebut.
“Apa yang saya berikan hari ini bukanlah besar tetapi saya harap sumbangan ini boleh menjadi pemangkin.
“Saya juga ingin menggalakkan para alumni SMK Bukit Mertajam untuk turut memberi kembali, kerana pendidikan adalah pelaburan terpenting untuk generasi akan datang,” katanya di sini.
Tambah beliau, peruntukan tersebut diyakini meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, sekali gus memberi manfaat kepada 967 pelajar serta 79 kakitangan sekolah itu. – MalaysiaGazette
















