MELAKA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu laporan lengkap daripada semua negeri mengenai tahap kerosakan fasiliti sukan susulan banjir dan Ribut Tropika Senyar yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara beberapa hari lalu.
Timbalan menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, setakat ini pihaknya hanya menerima maklumat awal daripada beberapa negeri, namun laporan penuh masih dalam proses pengumpulan sebelum tindakan susulan dapat diputuskan.
“Kita masih menunggu laporan rasmi daripada setiap negeri berkaitan tahap kerosakan fasiliti sukan di bawah KBS dan buat masa ini, semua maklumat yang diterima masih bersifat awal dan belum disahkan sepenuhnya.
“Kita tidak mahu membuat apa-apa anggaran kerosakan sebelum laporan penuh disahkan oleh pihak negeri,” katanya selepas merasmikan Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara Jom) 2.0 Zon Selatan 2025 di Bukit Katil hari ini.
Beliau berkata, antara negeri yang dikenal pasti terkesan setakat ini termasuk Terengganu, Perlis dan sebahagian kawasan di Perak.
Dalam perkembangan sama, Adam Adli berkata, Skuad Ihsan Madani, Satria Rakan Muda turut digerakkan bagi membantu operasi pasca banjir di kawasan terjejas.
“Sehingga kelmarin, seramai 40 sukarelawan telah ditempatkan di Kuala Kangsar untuk membantu kerja-kerja pembersihan rumah penduduk serta pusat pemindahan sementara.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kapasiti bantuan telah ditingkatkan termasuk penambahan stor makanan dan mobilisasi yang lebih cekap,” katanya.
Menurutnya, keutamaan KBS ketika ini adalah memastikan kebajikan rakyat yang terkesan terjamin, berbanding menumpukan kepada aspek aset dan fasiliti sukan.
Program Kembara Jom 2.0 Zon Selatan itu merekodkan penyertaan kira-kira 600 peserta, mencerminkan penglibatan aktif golongan muda dalam inisiatif kementerian. – MalaysiaGazette
















