KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh cadangan penambahbaikan tatakelola dibentangkan berhubung proses pelantikan kontraktor dan sub-kontraktor bagi kerja membekal serta memasang pagar sempadan di ladang Felda Plantation Management Sdn. Bhd. (FPM).
Cadangan dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BPT SPRM) kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berdasarkan penyiasatan tatakelola yang telah dijalankan bagi meneliti amalan, sistem dan tatacara kerja.
“Antara cadangan tersebut iaitu menambahbaik Perjanjian Perkhidmatan Kontrak Pengarah Besar Felda, menambahbaik Polisi dan Prosedur Perolehan (PPP), mewujudkan kontrak berasingan bagi setiap projek yang berlainan lokasi serta mewujudkan klausa berkaitan penyambungan tempoh kontrak dalam setiap perjanjian kontrak.
Cadangan lain yang turut dikemukakan adalah mengeluarkan arahan bagi melaksanakan kepentingan wajar dan mewujudkan kriteria penilaian terhadap setiap pemilihan sub-kontraktor yang disenarai pendek sebelum dianugerahkan kontrak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua syor itu disampaikan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib yang turut dihadiri wakil ketiga-tiga syarikat iaitu Felda, FPM dan FIC Supplies Sdn Bhd (FIC Supplies) di Bilik Mesyuarat Lembaga Felda, Menara Felda di sini, hari ini.
Selain daripada tujuh cadangan penambahbaikan, BPT SPRM turut mengenalpasti tiga ketidakpatuhan membabitkan pengurusan tatakelola FPM dan FIC Supplies.
“Cadangan yang dibentangkan bertujuan menutup ruang dan peluang perlakuan rasuah, salah guna kuasa mahupun penyelewengan dengan amalan yang tidak beretika serta menjejaskan imej jabatan.
“Sementara itu, ketiga-tiga pihak telah menzahirkan penghargaan kepada BPT SPRM berhubung perkongsian dapatan dan cadangan penambahbaikan yang telah dibentangkan,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















