BUTTERWORTH – Seorang penghantar makanan e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada Oktober lalu.
Tertuduh, Muhamad Amirul Affandi Zulfekri, 24, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual dengan cara mencium mulut serta meraba buah dada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Bagi kesalahan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di Jalan Kampung Benggali di sini, antara jam 7 hingga 8 pagi pada 18 Oktober lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh diwakili peguam N. Tishalini.
Ketika prosiding, Nurul Aini tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan ia merupakan kesalahan yang tidak dibenarkan jaminan.
Bagaimanapun, dalam rayuan Tishalini mohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan terhadap anak guamnya dengan alasan lelaki itu bekerja sebagai penghantar makanan e-hailing dengan pendapatan RM1,500 dan telah direman selama 11 hari.
“Dia merupakan anak sulung daripada tiga beradik dan menanggung perbelanjaan rumah serta dua adiknya yang masih bersekolah. Sekiranya disambung dia reman keluarganya turut akan berdepan masalah kewangan.
“Selain itu, mangsa juga tidak mempunyai sebarang hubungan serta tidak tinggal bersama tertuduh,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, pengadu dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Januari depan. – MalaysiaGazette
















