KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran memberi amaran peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2026 yang hanya meningkat 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya berisiko membawa Malaysia ke arah krisis kesihatan besar jika kelemahan struktural tidak segera ditangani.
Beliau mendakwa, walaupun kerajaan memperuntuk RM46.52 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM), angka itu ‘sekadar cukup makan’ malah tidak mampu menangani dua cabaran terbesar negara iaitu peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan penuaan populasi.
“Bajet ini seolah-olah dirangka untuk Malaysia tahun 2015, bukan Malaysia tahun 2030,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara hari ini.
Lingeshwaran turut mempersoalkan kejatuhan komitmen relatif negara terhadap kesihatan apabila peratusan KDNK untuk sektor itu dijangka menurun kepada 2.19 peratus pada 2026 lebih rendah daripada Thailand dan Vietnam.
Katanya, keadaan itu memaksa rakyat bergantung kepada sektor swasta sekali gus mewujudkan jurang dua darjat dalam akses rawatan.
Beliau menggesa KKM menilai semula strategi pencegahan berbanding rawatan, menyifatkan belanjawan semasa reaktif kerana lebih banyak memperuntukkan kos rawatan akibat kegagalan dasar terdahulu mengawal penyakit kronik.
“Kita sibuk membeli jentera bomba memadam api tetapi enggan memasang pengesan asap,” tegasnya.
Dalam pada itu, Lingeshwaran juga mempersoalkan ketiadaan peruntukan jelas bagi penjagaan jangka panjang dan geriatrik sedangkan Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang 2030.
“Hospital kita sudah penuh dengan pesakit warga emas yang tidak boleh discaj kerana tiada sistem sokongan sosial,” katanya.
Lingeshwaran turut mengangkat masalah sumber manusia kesihatan termasuk nisbah jururawat kepada penduduk yang semakin merosot serta 730 pegawai farmasi kontrak yang kehilangan status calon simpanan selepas menunggu bertahun-tahun.
Beliau menyifatkan situasi itu sebagai ‘kezaliman pentadbiran’ dan mendesak status mereka dipulihkan serta lantikan tetap dipercepatkan.
Beliau juga menuntut penjelasan mengenai keberkesanan skim pertukaran ‘suka sama suka’ untuk jururawat dan menggesa ia diperluaskan kepada jawatan lain.
Pada masa sama, beliau menyelar tekanan Third Party Administrators (TPA) terhadap klinik swasta dan mencadangkan persatuan perubatan menubuhkan TPA mereka sendiri demi kelangsungan industri.
Dalam isu sistem kecemasan NG999, Lingeshwaran mendakwa kelewatan respons ambulans telah menyebabkan kematian dan kecederaan lalu menuntut audit forensik bagi menentukan liabiliti antara Telekom Malaysia dan agensi kecemasan kerajaan.
“Jika panggilan tidak dijawab atau terputus, siapa yang menanggung darah di tangan mereka?” soalnya.
Beliau turut menegur kelewatan pembayaran kenaikan elaun on-call di hospital pengajar, mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan hospital mana yang telah melaksanakan bayaran dan menyenaraikan yang masih tertunggak.
Tegas Lingeshwaran, negara kini hanya ‘bertahan bukan berkembang’ dalam sektor kesihatan dan menggesa kerajaan menilai semula keutamaan sebelum Malaysia berdepan krisis kesihatan yang lebih parah. – MalaysiaGazette
















