MELAKA “Tuan, saya gunakan (arak) bukan untuk minum, tapi dijual buat duit makan dan tempat tinggal kerana masa itu saya yang hidup sebatang kara dalam keadaan buntu.
Itu rayuan yang dibuat pekerja kilang Muhamad Zulhilmi Sholehat, 31, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri 12 tin bir, sebuah kedai serbaneka di sini, minggu lalu.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman dua bulan penjara terhadap Muhamad Zulhilmi bermula dari tarikh ditangkap selepas meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujahan pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama dengan Muhammad Shahirul Azri Mohd Shamsuri, 29, telah mencapai niat mencuri 12 tin bir jenama Tiger 320ML yang dianggarkan bernilai RM83.80, milik syarikat 99 Speedmart di Jalan Ong Kim Wee, di sini.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 2.10 petang 3 Disember 2025 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Muhammad Shahirul bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan hanya tinggal dua beradik, selain sudah kematian kedua ibu bapa.
Muhamad Zulhilmi yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana baru kerja kilang dan sedar kesalahan dilakukan itu akibat kesempitan hidup untuk menampung makan minum dan perbelanjaan rumah.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Syauqi Mardia Baharudin, memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh dan menawarkan jaminan RM7,000 terhadap Muhammad Shahirul Azri.
Mahkamah membenarkan Muhammad Shahirul Azri dijamin RM3,500 dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu dalam prosiding sama, Muhamad Zulhilmi turut mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan kepada diri sendiri dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine pada 15 Februari 2023 yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagi kesalahan itu, Majistret Uthman mengarahkan tertuduh dipenjara selama tiga bulan dari tarikh sabitan dan perintah pengawasan selama dua tahun. – MalaysiaGazette
















