MELAKA – Polis Melaka menafikan dakwaan bahawa anggota trafiknya sengaja menahan sebuah ambulans bagi memberi laluan kepada konvoi kenderaan orang kenamaan (VIP) seperti yang tular di media sosial sejak pagi Khamis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, insiden itu berlaku pada jam kira-kira 10.30 pagi ketika anggota bertugas sedang mengiringi konvoi Delegasi China – Pelabur Insentif melibatkan 18 buah bas bagi tujuan promosi pelancongan negeri.
Menurutnya, semasa konvoi bas tersebut tiba persimpangan lampu isyarat Jalan Taming Sari, anggota trafik telah membuat penahanan kenderaan yang datang dari arah pusat bandar yang pada ketika itu lampu isyarat sedang berwarna hijau.
“Semasa membenarkan kenderaan dari arah tol Ayer Keroh dilakukan, anggota trafik telah memerhati sebuah ambulans Bulan Sabit Merah dari arah Semabok yang sedang berhenti di lorong kanan.
“Ambulans berkenaan dalam keadaan lampu beacon merah biru terbuka tanpa membunyikan siren dan tanpa hazard light dilihat beratur di lorong kanan seperti kenderaan lain.
“Keadaan itu membuatkan anggota membuat penilaian ambulans tersebut tidaklah berada di dalam keadaan kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Menurutnya, sekiranya ambulans tersebut dalam keadaan kecemasan, ia akan melalui lorong kiri dengan membunyikan siren untuk meminta diberikan laluan kecemasan.
“Setelah bas terakhir delegasi tersebut melepasi lokasi, anggota bertugas telah meninggalkan lokasi dan melihat ambulans tersebut tetap di lorong kanan tanpa bergerak.
“Ia juga tidak membunyikan siren kecemasan seperti yang ditularkan. – MalaysiaGazette
















