PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang media hari ini.
PRK kerusi P187 Kinabatangan dan N58 Lamag diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah jam 1.46 pagi, 5 Disember lalu.
Selain itu, SPR juga menetapkan hari penamaan calon pada 10 Januari kemudian diikuti tempoh berkempen selama dua minggu bermula 18 Januari sehingga pukul 11.59 malam pada 23 Januari 2026.
Manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.
Sementara itu, urusan permohonan semua undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula hari ini.
“Tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media pada 8 Januari 2026.
“Bagi kategori 1B warganegara Malaysia yang berada di luar negara pada 6 Januari 2026 dan 1C terdiri daripada agensi atau organisasi pada 6 Januari 2026,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.
Permohonan undi pos bagi semua kategori tersebut dilaksanakan secara dalam talian.
“Maklumat lanjut dan panduan permohonan undi pos boleh dirujuk melalui Portal SPR di www.spr.gov.my,” katanya.
Sementara itu, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dan lapan penolong pegawai pengurus bagi melancarkan urusan pilihan raya berkenaan.
SPR turut menubuhkan empat pasukan penguat kuasa pilihan raya yang turut diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding bagi tujuan pemantauan semasa tempoh berkempen.
“Seramai 1,106 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen P.187 dan PRK Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah.
“Sebanyak 36 pusat mengundi biasa mengandungi 117 tempat mengundi/saluran dan satu pusat mengundi awal bagi pengundian mengandungi satu tempat mengundi/saluran akan digunakan bagi kedua-dua pilihan raya itu.
“Dewan Sri Lamag, Kinabatangan pula akan dijadikan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi pilihan raya kali ini,” katanya.
Sementara itu, katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kali ini melibatkan seramai 48,722 pemilih yang di mana 48,526 pengundi biasa dan 196 orang polis.
“DPPR bagi PRK Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan N.58 Lamag, Sabah dijadualkan akan mula dijual pada 5 Januari 2026 (Isnin),” katanya.
Katanya lagi, PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag membabitkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.

Dalam PRN Sabah ke-16 pada September 2020, Bung Moktar menang kerusi N58 Lamag yang pertama kali dipertandingkan dengan majoriti 661 undi.
Manakala dalam PRN Sabah ke-17 pada 29 November lalu, Bung Moktar berjaya mempertahankan DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dengan persaingan enam penjuru.
Pada PRU-14, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 9,478 undi selepas menewaskan dua pencabarnya, Warisan dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).
Dalam PRU-15 pula, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berjaya mempertahankan kubunya menerusi 16,842 undian dengan majoriti 4,330 undi.
Ia sekali gus menewaskan pencabarnya dari Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang memperoleh 12,512 undi. – MalaysiaGazette
















