Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri

KUALA LUMPUR – Seramai 13 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi di Myawaddy, Myanmar berjaya dibawa pulang.

Kementerian Luar Negeri berkata, mereka selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada jam 6.50 petang tadi sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, mereka merupakan antara beberapa warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi membanteras aktiviti penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy baru-baru ini.

Menurut Wisma Putra, identiti 13 rakyat Malaysia itu telah disahkan lebih awal oleh pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semasa operasi repatriasi sebelum ini pada awal Disember.

Bagaimanapun, kepulangan mereka tidak dapat diuruskan serta-merta kerana mereka tertakluk kepada undang-undang imigresen tempatan atas kesalahan masuk tanpa izin.

“Walau bagaimanapun, hasil usaha dan rundingan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok serta bantuan pihak berkuasa Imigresen Tak, kumpulan tersebut telah dibebaskan di bawah Mekanisme Rujukan Kebangsaan (NRM) Thailand pada 19 Disember 2025,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Wisma Putra, bantuan konsular yang komprehensif telah diberikan termasuk pemakluman kepada ahli keluarga, pengeluaran dokumen perjalanan sementara, penyelarasan logistik, penyediaan keperluan asas, serta pengiringan sepanjang perjalanan selama 26 jam dari Mae Sot, Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam.

“Operasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian dalam menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara, terutamanya mereka yang telah menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dalam talian,” katanya lagi.

Kejayaan operasi ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Yangon, serta Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di Myanmar atas kerjasama teguh dalam memudah cara dan mempercepatkan usaha membawa pulang 31 warganegara Malaysia tersebut. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast