Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor didesak memberikan penjelasan rasmi mengenai keadaan bangunan bekas Carlton Hotel di Seksyen 13  Shah Alam yang diumumkan lebih setahun lalu untuk dijadikan hab e-sukan namun sehingga kini didakwa masih terbiar, uzur dan berisiko kepada keselamatan awam.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, isu berkenaan perlu ditangani secara matang, berfakta dan berorientasikan penyelesaian bukan sekadar dijadikan polemik politik.

“Rakyat Selangor berhak mengetahui perkembangan sebenar sesuatu projek yang telah diumumkan secara rasmi dalam pembentangan bajet negeri, apatah lagi apabila melibatkan peruntukan awam dan harapan besar anak muda.

“Pengumuman peruntukan RM1 juta bagi pembangunan hab e-sukan ini adalah satu langkah yang baik dan berpandangan jauh. Dunia e-sukan kini menjadi industri serius yang mampu melahirkan bakat profesional, membuka peluang pekerjaan serta menjana ekonomi kreatif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, projek pembangunan hab e-sukan di bekas Hotel Carlton itu dilaporkan masih terbengkalai dan belum menunjukkan tanda-tanda pembangunan fizikal sehingga Disember 2025.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri berkata, idea pembangunan itu nampak baik namun tanpa pelaksanaan yang jelas akhirnya akan melemahkan keyakinan rakyat dan merencatkan potensi sebenar industri berkenaan.

“Keadaan tapak yang terbiar, vandalisme, kemudahan rosak serta risiko keselamatan bukan sahaja mencemarkan imej pengurusan negeri malah menimbulkan persoalan mengenai tadbir urus, pemantauan dan keutamaan pelaksanaan projek.

“Lebih membimbangkan, persatuan e-sukan negeri sendiri dilaporkan tidak dimaklumkan secara berterusan mengenai perancangan dan kemajuan projek ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pemuda Pas Selangor mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri bagi memastikan projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan telus.

“Pertama, kerajaan negeri perlu segera mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status sebenar projek ini, termasuk punca kelewatan, pihak pelaksana dan garis masa baharu yang realistik. Ketelusan adalah asas kepercayaan.

“Selain itu, satu pelan tindakan jelas perlu dibentangkan kepada umum, termasuk jadual kerja, fasa renovasi dan mekanisme pemantauan berkala selain melaksanakan libat urus bermakna dengan persatuan e-sukan negeri, pemain profesional, penggiat industri dan komuniti belia.

“Pembangunan ekosistem e-sukan tidak boleh digerakkan secara pentadbiran semata-mata tanpa suara pemain di lapangan,” katanya.

Mohamed Sukri menambah, kerajaan negeri wajar mempertimbangkan kerjasama strategik dengan sektor swasta atau institusi pendidikan sekiranya berdepan kekangan kewangan atau teknikal bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan secara mampan dan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast