ACEH – “Dalam keadaan banjir yang sudah naik paras lutut dan hujan masih lebat, saya menarik perlahan-lahan seorang warga emas iaitu jiran dan juga saudara saya yang lumpuh, keluar dari rumahnya ke dalam perahu untuk diselamatkan.
“Saya dayung perlahan-lahan dan bawa wanita berusia 65 tahun itu ke rumah lain yang lebih tinggi dan selamat di kampung ini yang mengambil masa satu jam kerana terpaksa meredah arus dengan perahu.
“Kemudian saya kembali semula ke rumah jiran saya itu untuk menyelamatkan ibu mentua dan saudara wanita yang baru habis pantang bersalin dengan bayi berusia tiga bulan untuk diselamatkan tetapi air sudah naik ke paras dada dan perahu sukar bertahan dalam arus yang semakin kuat”.
Demikian cerita mangsa banjir, Ilias M Kassim, 32, penduduk Desa Geudumbak, Aceh Utara dekat sini yang menyelamatkan jirannya semasa banjir besar melanda pada 26 November lalu.
Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau kampung tersebut semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan bantuan.
Misi tersebut dianjurkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasar Raya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Berkongsi lanjut detik-detik mencemaskan itu, Ilias berkata, perahu yang didayungnya juga tidak dapat masuk ke kawasan rumah saudaranya kerana air sudah naik setinggi empat meter dan terdapat banyak sisa kayu serta kayu balak dibawa arus.
“Kayu balak yang hanyut dari kawasan gunung berdekatan sudah menutup laluan untuk ke rumah tersebut. Saudara wanita saya yang berusia 25 tahun dan baru habis pantang bersama-sama suami, bayi, mentua dan beberapa orang yang lain masih berada dalam rumah,” ujarnya.
Dia berkata, tidak dapat berbuat apa-apa namun cuba berusaha masuk lagi laluan ke rumah saudaranya itu dari arah lain tetapi tidak berjaya kerana terlalu berbahaya dan perahu berisiko terbalik dan hanyut.
“Saya kemudian mendapat tahu mereka semuanya yang berjumlah sembilan orang memecahkan siling dan naik ke atas bumbung untuk menyelamatkan diri.
“Apabila air semakin naik mereka semua naik ke atas pokok sawit berdekatan rumah menerusi bumbung rumah. Mereka berlindung atas pokok sawit pada 26 hingga 28 November lalu,” katanya.
Ceritanya lagi, semua mereka terpaksa bertahan lapar dalam tempoh tersebut dan hanya minum air hujan dalam keadaan kesejukan dengan seorang daripadanya cedera pada bahagian dahi.
Ilias yang pernah bekerja di Sri Medan, Shah Alam, Selangor selama dua tahun pada 2014 bersyukur kerana semuanya selamat walaupun terpaksa melalui pengalaman yang menakutkan.
Bapa kepada seorang anak itu berkata, rumahnya turut rosak akibat banjir dan kira-kira 100 daripada 150 rumah di kampung itu musnah serta dihanyutkan banjir.
Selepas tiga hari banjir surut, katanya, penduduk mengalami masalah bekalan makanan dan air bersih serta tiada elektrik kerana terputus hubungan dengan dunia luar akibat jalan rosak teruk serta ditimbuni kayu-kayu balak yang hanyut.
“Kami minum air sungai yang sudah bercampur dengan air banjir dan makan apa yang ada. Ada penduduk yang sakit dan demam mungkin kerana kesan minum air tersebut,” dakwanya.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB Bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette
















