KUALA LUMPUR – Pas berharap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang terlibat menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di Perlis.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.
Jelasnya, tindakan itu juga berdasarkan kepada perbandingan kepada masalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sebelum ini.
“Bersatu ketika itu telah menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD.
“Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Tuan Ibrahim, sebagai rakan dalam gabungan utama PN, Pas yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.
“Pas sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan Bersatu wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUNnya,” katanya.
Sementara itu, mengulas tindakan tegas yang diambil terhadap tiga ADUN Pas di Perlis, Tuan Ibrahim berkata, parti tersebut tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah.
Menurutnya, walaupun keputusan itu mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan negeri Perlis, Pas berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek.
“Dalam suasana ini, saya menyeru seluruh ahli dan penyokong Pas agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan,” katanya.
Semalam, Pas mengumumkan keahlian tiga ADUN mereka terhenti serta-merta selepas dikaitkan dengan tindakan mengemukakan SD menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ismail.
Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Sementara itu, media melaporkan, lima ahli Bersatu yang didakwa turut menandatangani SD tersebut ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis); Izizam Ibrahim (Titi Tinggi); Megat Hashirat Hassan (Pauh); Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena). – MalaysiaGazette
















