Logo Angkatan Tentera Darat Malaysia

KUALA LUMPUR – Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025.

Pelantikan itu juga telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.

“Pelantikan ini diyakini mampu memperkukuh kepimpinan Tentera Darat Malaysia serta meningkatkan keupayaan operasi Angkatan Tentera Malaysia dalam memenuhi tuntutan pertahanan negara kini dan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Khaled berkata, keputusan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera ke-631 mengenai pelantikan bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, sebagai Panglima Angkatan Tentera ditangguhkan.

Beliau telah diarahkan bercuti bagi membolehkan proses siasatan pihak berkuasa dijalankan terhadap dakwaan yang telah dilaporkan melibatkan beliau.

Katanya, pemangkuan tugas Panglima Angkatan Tentera akan dilaksanakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain sebagaimana pengumuman yang telah dibuat pada 27 Disember 2025.

“Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa segala langkah yang dilaksanakan ini bertujuan menjunjung kedaulatan undang-undang serta memelihara integriti Angkatan Tentera Malaysia, sambil memastikan tugas mempertahankan kedaulatan negara terus dilaksanakan dengan berkesan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast