KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui wujud kebimbangan dalam kalangan pelancong asing berhubung layanan yang diterima ketika berada di negara ini, termasuk dakwaan sikap kurang mesra segelintir warga tempatan.
Menurut beliau, maklum balas yang diterima daripada agensi di bawah kementeriannya itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu memberi kesan langsung terhadap imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, khususnya menjelang pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang berlangsung mulai hari ini.
“Saya dimaklumkan ada pelancong yang merasakan layanan tidak begitu mesra dan ada yang marah. Jadi saya minta semua pihak bersatu untuk membuktikan bahawa negara kita adalah negara yang mesra,” katanya.
King Sing ketika demikian dalam sidang media selepas menyambut ketibaan pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di pintu masuk Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), pagi ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Manoharan Periasamy.

Dalam pada itu, King Sing berkata, kerajaan memandang serius setiap aduan dan pandangan yang disuarakan oleh pelancong kerana ia mencerminkan pengalaman sebenar mereka sepanjang berada di Malaysia.
Menurutnya lagi, usaha memperbaiki imej negara tidak boleh diletakkan di bahu pihak tertentu sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat.
“Ini adalah inisiatif kerajaan, bukan individu. Tahun ini kita harap lebih ramai pelancong datang dan rakyat Malaysia perlu bersedia menerima mereka dengan sikap terbuka,” katanya.
Tambah beliau, sikap ramah, toleransi dan kesediaan membantu harus menjadi budaya rakyat Malaysia bagi memastikan pelancong berasa selamat, dihargai dan dialu-alukan sepanjang berada di negara ini.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh sektor pelancongan turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan mencapai standard antarabangsa.
Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing sebagai destinasi pilihan pelancong global serta mampu meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada ekonomi negara.
“Oleh itu, saya meminta semua pihak bersatu untuk membuktikan bahawa negara kita adalah negara yang mesra dan budaya kita mencerminkan keterbukaan menerima pelancong dari seluruh dunia,” katanya lagi.
Dari segi promosi VM2026, beliau berkata usaha yang dijalankan setakat ini menunjukkan perkembangan positif dan menerima sambutan menggalakkan daripada orang tempatan mahupun pelancong antarabangsa.
KLIA Terminal 1 menjadi salah satu lokasi utama bagi inisiatif pembukaan kempen VM2026 hari ini dan sambutan serentak turut diadakan di 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di kesemua 13 negeri di Malaysia.
Tourism Malaysia dalam kenyataan berasingan memaklumkan kalendar acara VM2026 menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan di Malaysia.
Antara acara utama yang diketengahkan ialah VM2026 Chinese New Year Festival, VM2026 Aidilfitri Festival, VM2026 Deepavali Festival, VM2026 Christmas Fest dan keunikan perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai. – MalaysiaGazette
















