ALOR SETAR – Wanita yang bertindak agresif terhadap anggota polis dan menggangu ketenteraman awam di Mergong di sini, pada 30 Disember lalu direman selama dua hari.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, perintah remah terhadap suspek berusia 34 tahun itu bermula hari ini.
Media semalam melaporkan suspek itu ditahan kira-kira 2.30 petang semalam selepas laporan diterima berkaitan seorang individu dipercayai kurang siuman telah menumbuk seorang pekerja di sebuah syarikat.
“Ketika kejadian dua anggota polis ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan dan sebaik tiba anggota polis mendapati suspek seorang wanita warga tempatan sedang membuat kacau dan menggangu ketenteraman awam.
“Anggota polis kemudian memperkenalkan diri dan cuba menenangkan keadaan dengan memujuk suspek untuk bertenang dan memberi kerjasama.
“Bagaimanapun, suspek tiba-tiba bertindak agresif dan provokatif dengan meninggikan suara, memaki hamun, serta membuat isyarat lucah ke arah salah seorang anggota polis,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, suspek juga meludah ke arah anggota polis berkenaan, sambil mengeluarkan kata-kata menghina agama Islam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam semasa menjalankan tugas.
“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengeluarkan kata-kata yang boleh mendatangkan kemarahan atau menyinggung perasaan penganut mana-mana agama dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















