Seorang lelaki tempatan menegur seorang lelaki Singapura kerana mengisi RON95 dengan menutup awal dan hujung nombor flat keretanya di sebuah stesen minyak di Kulainpada 4 Januari lalu

KULAI – Tular sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Singapura menutup sebahagian plat bertujuan mengaburi tindakannya mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di daerah ini.

Video berdurasi satu minit 30 saat itu tular memaparkan seorang individu mengesan dan menegur perbuatan pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang sedang mengisi petrol RON95.

Pemilik video mendakwa kemungkinan itu taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa apabila menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kenderaan asing itu agar kelihatan seperti kenderaan tempatan.

Apabila didekati dan disoal pemilik video, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo ketika dihubungi berkata, siasatan akan dilakukan terhadap kes itu.

Lilis Saslinda berkata, pihaknya sudah menerima laporan dibuat pengadu dan pasukan siasatan sudah digerakkan untuk tujuan pemeriksaan.

“Pengadu sudah membuat aduan dalam sistem dan pasukan sudah pun digerakkan bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan.

“Sekarang ini kita masih menunggu laporan dan hasil siasatan. Maklumat-maklumat akan dikemaskini nanti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kenderaan jika mendapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan yang ditetapkan.

Ujarnya, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 10.35 malam tadi, namun laporan diterima pada pukul 10.05 pagi tadi.

“Laporan mengenai kejadian itu sudah dirujuk ke KPDN untuk tindakan lanjut kerana membabitkan minyak subsidi.

“Pihak polis akan mengesan pemilik kenderaan dan jika didapati nombor pendaftaran kenderaan itu menyalahi peraturan ditetapkan, kita akan ambil tindakan saman,” jelasnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Beli kereta harga ratusan ribu .isi minyak nak yg murah dan bersubsidi. memang memalukan dgn cara menipu.

Comments are closed.