GEORGE TOWN – Seorang pesara kerajaan kerugian lebih RM1 juta selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan saham dalam talian yang ditawarkan melalui aplikasi dikenali sebagai DAC Pro.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, lelaki berusia 67 tahun itu mula terpedaya selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Facebook pada penghujung Ogos lalu sebelum ditawarkan satu pelaburan saham dikenali sebagai DAC Pro atas nama syarikat Navis Management Sdn. Bhd.
Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum suspek menawarkan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 200 peratus dalam tempoh masa yang singkat daripada jumlah modal yang dilaburkan.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi DAC Pro bagi tujuan pendaftaran keahlian serta membuat pelaburan. Susulan itu, dalam tempoh 8 Oktober hingga 10 Disember lalu, mangsa telah membuat 22 transaksi pembayaran berjumlah RM760,200 ke dalam enam akaun bank yang berbeza.
“Sepanjang tempoh tersebut, mangsa telah dijanjikan keuntungan pelaburan sebanyak RM7,488,492,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Azizee, apabila mangsa ingin mengeluarkan keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan, dia diminta membuat bayaran pendahuluan sebanyak tiga peratus daripada jumlah keuntungan sebagai terma dan syarat pengeluaran wang pelaburan.
Katanya, mangsa kemudian membuat enam transaksi kemasukan wang berjumlah RM242,200 ke dalam satu akaun bank yang diberikan oleh suspek antara 18 hingga 24 Disember lalu.
“Mangsa menyedari telah diperdaya selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan yang dipaparkan selain diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan cukai dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Susulan itu, dia sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semalam membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM1,002,400.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kita menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan pelaburan yang menjanjikan keutungan berkali ganda,” katanya. – MalaysiaGazette
















