KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan satu rakaman video berdurasi 22 saat yang tular di Facebook hari ini memaparkan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di kawasan tempat letak kenderaan Taman Puchong Indah.
Kejadian sebenar dilaporkan berlaku pada 28 Disember lalu sekitar pukul 12.30 tengahari.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Persona yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun serta dua kenderaan lain iaitu Perodua Myvi dan sebuah Peugeot.
Kejadian berlaku ketika pemandu Proton Persona cuba meletakkan kenderaannya di kawasan berkenaan sebelum secara tidak sengaja tertekan pedal minyak lalu melanggar Perodua Myvi.
“Dalam keadaan panik, pemandu terbabit turut melanggar sebuah lagi kenderaan jenis Peugeot sebelum memberhentikan kenderaannya.
“Kesemua pemandu terlibat telah hadir untuk membuat laporan polis. Pemandu Proton Persona pula membuat laporan selepas menerima rawatan perubatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Inspektor Fatin Husna binti Khairuzzaman di talian 017-301 2621.
“Polis memberi jaminan bahawa identiti semua pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – MalaysiaGazette















