KUALA LUMPUR – Musuh politik Perikatan Nasional (PN) akan berdepan kekecewaan susulan kematangan pimpinan gabungan itu menangani isu dalaman secara kekeluargaan.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, kunjungan hormat Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah manifestasi jelas keutuhan kerjasama Pas dan Bersatu.

Pertemuan di Bukit Damansara itu berlangsung kurang 24 jam selepas Muhyiddin tiba dari luar negara bagi membincangkan pengukuhan PN serta hasrat Pengerusi PN itu melepaskan jawatan secara sukarela.
“Pasti musuh akan merasa kecewa dengan kebijaksanaan dan kematangan bertindak pimpinan Perikatan Nasional. Tapi itulah realitinya,” kata Annuar menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, Pas kekal istiqamah dan tidak tersasar dengan provokasi luar sebaliknya fokus kepada prinsip kebersamaan.
“Tindakan pantas Pas menyelesaikan isu pelantikan Menteri Besar Perlis daripada Bersatu adalah bukti komitmen parti itu terhadap rakan komponen.
“Pemimpin PN mempunyai pengalaman luas dalam politik Malaysia dan berupaya menangani setiap cabaran mendatang tanpa menjejaskan wadah politik yang didukung rakyat,” katanya lagi.
Jelas Annuar, pertemuan tersebut turut melibatkan perbincangan mengenai kesediaan Pas untuk menyambung tugas kepimpinan PN jika berlaku kekosongan jawatan oleh Presiden Bersatu itu.
Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari lalu disusuli beberapa pemimpin Bersatu yang turut melepaskan jawatan Pengerusi PN Negeri.
Tindakan itu diambil selepas didakwa didesak oleh beberapa pemimpin Pas yang tidak berpuas hati dengan Bersatu yang tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang menarik sokongan kepada bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Kini Perlis diterajui oleh Menteri besar baharu iaitu ADUN Kuala Perlis dari Bersatu iaitu Abu Bakar Hamzah. – MalaysiaGazette















