PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencatatkan rekod jumlah perjalanan penumpang harian yang tertinggi dalam sejarah sejak penubuhannya iaitu 1.63 juta pada 31 Disember 2025.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, purata jumlah perjalanan penumpang sepanjang tahun setiap hari turut meningkat secara signifikan iaitu 11 peratus kepada 1.31 juta berbanding 1.18 juta tahun sebelumnya.
“Pencapaian ini membuktikan kebolehpercayaan operasi perkhidmatan rel dan bas yang semakin kukuh dan konsisten,” katanya ketika sidang media Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2025 dan Pelan 2026 di sini hari ini.

Selain itu, menurut Anthony, Prasarana juga berjaya mengurangkan jumlah bilangan gangguan perkhidmatan rel kepada hanya 31 gangguan pada tahun 2025.
Terdahulu pada 2024 sebanyak 71 gangguan direkodkan yang mana berkurang 56 dari tahun sebelumnya.
“Kejayaan prestasi yang memberangsangkan ini adalah hasil inisiatif yang digerakkan sejak tahun 2021 seperti penyelenggaraan aset yang lebih sistematik dan proaktif, pengukuhan kecekapan operasi serta penambahbaikan ketepatan masa perkhidmatan bagi memastikan perjalanan penumpang lebih lancar dan terancang,” jelasnya.
Pada 2025 ketersediaan perkhidmatan (Level of Service – LOS) Rapid Bus telah mencatat peningkatan kepada 1,355 buah, berbanding 1,165 pada tahun sebelumnya.
Jumlah itu, katanya, termasuk ketersediaan perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) yang telah dipertingkatkan pada tahun lepas.
Tambah Anthony, darpadai aspek penambahbaikan kemudahan pula, Prasarana berjaya menyiapkan 301 hentian bas dan 16 laluan pejalan kaki.
“Sebanyak 43 hentian bas dan 17 laluan pejalan kaki masih dalam pembinaan bagi terus meningkatkan akses, keselesaan dan pengalaman pengguna,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengakui sambutan perkhidmatan bas intercity (antara bandar) tidak menunjukkan peningkatan ketara kerana tempoh masa menunggu yang agak lama.
“Sehubungan itu kita akan tambah bas Rapid sebanyak 300 lagi untuk meningkatkan kekerapan,” tambahnya.
Bagi tahun ini, Anthony memaklumkan, Prasarana akan memberikan fokus perkhidmatan secara konsisten, selamat dan mesra pengguna sekali gus terus berazam mengurangkan gangguan teknikal tren. – MalaysiaGazette
















