PUTRAJAYA – Pelaksanaan Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kekal menjadi tumpuan sepanjang tahun 2026 biarpun berdepan cabaran geopolitik termasuk kesan konflik Venezuela- Amerika Syarikat terhadap ekonomi global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir berkata, kementerian merancang untuk melancarkan pelan hala tuju JS-SEZ pada suku pertama tahun ini disusuli pertemuan bersama rakan sejawat dari Singapura.
Menurut beliau, pertemuan itu dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini.
“Pelan JS-SEZ akan kita umumkan dalam suku pertama. Namun sebelum itu, saya akan bertemu menteri dari Singapura bagi mendapatkan kefahaman bersama antara kedua-dua negara,” katanya.
Mengulas lanjut, Akmal menegaskan bahawa menjelang 2026, faktor geopolitik perlu diberi perhatian serius namun Malaysia tetap berpegang kepada agenda memperkukuh pencapaian ekonomi melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta pelan pembangunan lain yang telah dirangka.
“Kita tahu geopolitik akan menjadi cabaran, tetapi pada masa sama Malaysia mesti fokus kepada deliverables ekonomi. Sama ada melalui RMK13 atau pelan lain seperti JS-SEZ, semuanya perlu dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Kementerian Ekonomi Bulan Januari Tahun 2026 di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Mengulas mengenai konflik Venezuela–AS, Akmal berkata, kebanyakan negara masih menanti dan menilai kesan daripada perkembangan tersebut terhadap pasaran global.
“Saya fikir semua masih menunggu untuk melihat impak daripada konflik itu. Ramai masih cuba memahami kesan yang mungkin timbul.
“Namun bagi Kementerian Ekonomi, fokus tetap kepada pelaksanaan rancangan lima tahun Malaysia dan memastikan eksekusi berjalan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette
















