KUALA LUMPUR – Penggunaan peranti perubatan tertentu dalam rawatan estetik dan kecantikan akan dikawal selia secara lebih menyeluruh berkuatkuasa 1 Jun 2026 susulan pewartaan Perintah Peranti Perubatan (Peranti Perubatan yang Ditetapkan) 2026.
Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) berkata, antara yang terlibat termasuk peranti rawatan laser, High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU), liposuction dan rawatan berkaitan.
Peranti-peranti terbabit akan tertakluk kepada keperluan kawal selia bagi memastikan pengendalinya mempunyai kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh kerajaan, sekali gus menjamin keselamatan, kualiti serta kesesuaiannya untuk digunakan kepada orang awam.
“Pewartaan ini memberi manfaat besar kepada rakyat kerana ia membantu melindungi pengguna daripada risiko rawatan yang menggunakan peranti tidak mematuhi piawaian keselamatan.
“Dengan adanya kawalan ini, orang ramai boleh mendapatkan rawatan estetik dan kecantikan dengan lebih yakin, selamat dan bertanggungjawab,” kata MDA dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu, langkah tersebut juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kesihatan awam serta memastikan industri estetik dan kecantikan berkembang secara mampan, beretika dan mematuhi keperluan perundangan.
Pada masa yang sama, pewartaan ini menyokong penggunaan teknologi secara terkawal tanpa menjejaskan keselamatan pengguna.
Katanya, MDA akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuk pengamal, pengusaha industri dan orang awam bagi memastikan pelaksanaan perintah ini berjalan dengan lancar menjelang tarikh kuat kuasanya pada 1 Jun 2026. -MalaysiaGazette
















