KUALA LUMPUR – Bakal Pengerusi Perikatan Nasional (PN) daripada Pas perlu sama ada presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau timbalan presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, ia selaras dengan resolusi Muktamar Pas baru-baru ini yang mana sekiranya Pas memimpin PN atau suatu hari kelak mengetuai kerajaan maka pemimpin yang mewakili parti itu seharusnya dari golongan ulama.
Sehubungan itu, menamakan tokoh lain sebagai Pengerusi PN mewakili Pas adalah satu percanggahan dengan prinsip politik parti itu.
Jelasnya, resolusi Muktamar Pas bahawa parti itu perlu memimpin PN harus dibaca bersekali degan resolusi Muktamar Pas berkaitan kepimpinan ulama yang telah dirumuskan sejak awal 1980-an lagi.
Selepas itu, kata beliau, hampir setiap kali Muktamar Pas akan ada penegasan-penegasan untuk memperkasakan kepimpinan ulama.

“Secara konvensyen, sesiapa yang menjadi Pengerusi PN maka beliaulah bakal PM (Perdana Menteri) sekiranya PN menang kelak.
“Jika Pengerusi PN itu daripada Pas maka Malaysia kelak akan mendapat PM dari kalangan golongan ulama.
“Para pendukung Pas yang sudah lama berkecimpung dengan aktivisme Pas, hasrat ini sudah tertanam lama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Mohd Zuhdi, penanda aras Pas bagi seseorang ketua kerajaan adalah seperti Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi sendiri.
“Menurut Pas, gaya hidup, hubungan sosial, watak pemimpin dan yang lebih utamanya gagasan kepemimpinan seseorang MB (Menteri Besar) atau kelaknya seorang PM mestilah seperti dua sosok ulama ini,” katanya.
Bagaimanapun, tambah beliau, sesiapa yang bakal memimpin PN adalah terserah kepada keputusan majlis tertinggi gabungan politik tersebut.
Paling penting, katanya, kemelut kepengerusian PN tidak wajar menjadi punca PN berpecah.
“Semua pihak harus menerima, setakat ini hanya PN yang boleh menumbangkan PH (Pakatan Harapan),” katanya. – MalaysiaGazette
















