Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh bergambar pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di MITEC, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 12 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegur sikap segelintir hakim yang melengah-lengahkan penyediaan alasan penghakiman selepas membuat keputusan kes.

Beliau menyedari wujud peningkatan jumlah penghakiman bertulis yang gagal disediakan meskipun hakim diberi tempoh lapan minggu untuk menyiapkannya.

Wan Ahmad Farid secara kiasan berkata, kerusi hakim `panas’ dan hanya mereka yang tahan bahangnya akan kekal memegang jawatan itu.

“Saya jarang berkata begini. Dapur sudah dibuka, perkhidmatan mesti tepat pada masanya. Jika tidak mampu bertahan, jalan terbaik yang bermaruah adalah meletak jawatan,” ujarnya.

Wan Ahmad Farid menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di sini hari ini.

Ketua Hakim Negara selanjutnya menyatakan, menulis penghakiman adalah sebahagian daripada kemahiran hakim dan mereka wajib memberi sebab terhadap keputusan yang dibuat.

Jelas beliau, alasan penghakiman penting bagi memastikan pihak-pihak dapat memahami mengapa mereka menang manakala pihak yang kalah boleh mengambil tindakan lanjut untuk mengemukakan rayuan.

“Saya mendengar sendiri keluhan dan kekecewaan pihak-pihak yang ingin memfailkan rayuan namun alasan penghakiman masih belum disiapkan meskipun keputusan sudah lama dibuat,” ujar beliau.

Wan Ahmad Farid selanjutnya menyatakan, hakim-hakim perlu menyiapkan alasan penghakiman dengan segera bagi mengelakkannya tertunda untuk tempoh yang lama.

“Hakim yang mempunyai 10 atau lebih penghakiman bertulis yang belum siap memikul beban bukan sahaja kepada sistem keadilan malah diri sendiri. Anda tahu siapa anda,” ujarnya.

Menurut Ketua Hakim Negara, beliau bersedia membantu hakim-hakim yang `bergelut’ untuk menyediakan penghakiman bertulis namun mereka perlu dan jujur dan ada hadnya.

Kata Wan Ahmad Farid, beliau perlu berlaku adil kepada Mahkamah Rayuan yang terhalang untuk meneruskan rayuan hanya kerana Mahkamah Tinggi belum menyiapkan alasan penghakimannya.

Ujar beliau, kepentingan awam lebih penting dan pihaknya tidak boleh membiarkan jentera keadilan tidak bergerak dan tersumbat walhal pihak-pihak menunggu keputusan di peringkat rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast