Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar selepas hadir pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2026 ketika di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mesti mempunyai keazaman yang kuat untuk mengembalikan kewibawaannya selepas kementerian ini diheret dengan pelbagai kritikan, tohmahan, teguran dan krisis moral.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sepanjang tahun lalu hingga awal tahun ini, ATM terbabit dengan isu buli, penderaan, tuduhan rasuah, budaya hedonisme yang jelik hingga kepada integriti perisikan menjadi bahan perbualan umum.

Tegas beliau, ATM tidak lagi boleh berada dalam penafian dan tidak boleh membiarkan perkara itu berterusan.

Menurut beliau, ATM hanya ada satu pilihan iaitu memastikan badan pertahanan negara ini dipercayai sewaktu aman dan ketika menempuh halangan.

“Justeru, adalah sangat penting untuk kita mengembalikan kepercayaan rakyat dan negara terhadap ATM. ATM dipercayai sebagai benteng pertama dan terakhir dalam memelihara kedaulatan watan ini.

“Hanya dengan kepercayaan, akan terbit rasa dilindungi dan selamat di nurani rakyat,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan hari ini.

Untuk itu, MINDEF akan melaksanakan rombakan besar-besaran terhadap pelan antirasuah kementerian itu bagi membanteras rasuah dan salah guna kuasa yang membarah dalam sistem pertahanan negara khususnya melibatkan ATM bermula tahun ini.

Mohamed Khaled berkata, semua proses tender dan perolehan akan disemak serta diperbaiki selaras dengan amalan terbaik bagi memastikan ketelusan dan integriti diperkukuhkan.

Beliau menegaskan, tiada sebarang toleransi akan diberikan terhadap pegawai yang terlibat dengan rasuah kerana perbuatan itu boleh mengkompromi keselamatan negara.

“Rasuah atau persepsi rasuah dalam apa jua bentuk di MINDEF mesti berakhir. Tidak akan ada toleransi terhadap sebarang kecurangan. Bersedialah untuk kehilangan segalanya jika anda menjadi punca sektor keselamatan negara dikompromi,” tambah beliau.

Menurut beliau, rombakan pelan antirasuah itu merupakan antara empat teras utama pelarasan MINDEF bagi tahun 2026.

“Pada tahun ini, pelan antirasuah MINDEF akan dirombak secara menyeluruh. Semua proses tender dan perolehan akan disemak semula serta ditambah baik selari dengan amalan terbaik.

“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama membersihkan segala bentuk ketirisan dan kecurangan, tanpa mengira siapa yang melakukannya. Rasuah adalah ancaman dari dalam yang mampu menewaskan kita tanpa perlu berperang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, rasuah bukan sahaja menyebabkan pembaziran dan ketidakcekapan malah menafikan negara daripada memiliki aset pertahanan yang berkualiti serta mengancam keselamatan anggota tentera.

“Rasuah merosakkan disiplin dan keperibadian anggota yang dilatih dengan nilai integriti tinggi. Ia juga menjadi barah yang melemahkan keupayaan negara untuk bersaing sebagai kuasa pertengahan,” katanya.

ATM juga, tegas Mohamed Khaled, perlu memulihkan integriti dan memastikan sistem tatakelola idak akan memberikan seinci ruang pun untuk penyelewengan dan salah guna kuasa.

Katanya, walaupun pelbagai pelan telah dilancarkan etapi ia tidak dilaksanakan denan strategi dan mekanisme yang ampuh dan akhirnya hanya menjadi dokumen.

“Cukuplah dengan segala pelan. Kita memerlukan tindakan! Dan tindakan yang tegas tetapi adil dan tidak menganiayai sesiapa jua,” tegasnya.

Mohamed Khaled juga berharap tahun 2026 akan menjadi tahun ATM  berhijrah ke era yang lebih baik.

“Era di mana kita bangkit dengan kepercayaan bahawa menyumbang kepada tanah air adalah sebaik-baik.  Era kita pasakkan integriti sebagai sebenar-benar nilai utuh kita sebagai
benteng pertahanan yang dipercayai.

“Era kita perangi rasuah dan salah laku secara menyeluruh. Di setiap peringkat, di setiap lapangan, di setiap arena sistem pertahanan nasional.

“Kita mesti menyatakan dengan jelas: Angkatan Tentera Malaysia adalah sebuah institusi yang mulia, unggul dan dihormati,” seru beliau lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast