Sebuah lori kontena yang diubah suai menjadi tangki bagi menyimpan diesel bersubdi untuk diseleweng. Foto KPDN Selangor

KUALA LUMPUR  – Sebuah lori kontena yang diubahsuai menjadi tangki bagi menyimpan diesel bersubdi untuk diseleweng berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Taktik licik itu terbongkar menerusi serbuan di sebuah premis di kawasan Subang Bestari sekitar pukul 8.30 pagi tadi disyaki menjalankan aktiviti urus niaga diesel bersubsidi secara tidak sah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, serbuan dilakukan hasil risikan selama sebulan dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Kotinjen (IPK) Selangor.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sturktur lori kontena itu  diubah suai dengan pemasangan satu unit tangki besi berbentuk segi empat (Steel Square Tank) berkapasiti 18,000 liter serta pam bagi menyedut dan memindahkan bahan api.

“Diesel ini dipercayai diperoleh melalui pembelian berulang kali di beberapa stesen minyak sekitar Shah Alam sebelum dikumpulkan di premis ini bagi tujuan pengedaran,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan.

Jelasnya, lori terbabit dipercayai tidak mempunyai dokumen sah bagi membawa barangan kawalan tersebut dan sindiket itu dipercayai melakukan kerja-kerja mendapatkan diesel pada awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Serbuan itu turut menemukan peralatan berkaitan pemindahan diesel serta beberapa keping resit pembelian bahan api daripada stesen minyak terlibat yang akan dijadikan bahan siasatan lanjut.

“Kita juga menahan lima warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan serta penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggaran keseluruhan diesel yang dirampas berjumlah 21,000 liter dengan anggaran nilai lebih RM60,000 manakala nilai keseluruhan sitaan dianggarkan melebihi RM300,000,” jelasnya.

Lima individu ditahan terlibat seleweng minyak diesel. Foto KPDN Selangor
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek.

Berikutan itu, katanya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Belakan 1961 termasuk peruntukkan memiliki dan menjalankan urus niaga diesel tanpa kebenaran sah.

Mengulas lanjut, Mohd Hanizam berkata, kes tersebut merupakan yang pertama dikesan pada tahun ini melibatkan penggunaan lori kontena sebagai medium penyelewengan diesel dalam skala besar.

“Kebiasaannya kes melibatkan lori tangki yang diubahsuai secara konvensional namun penggunaan lori kontena ini menunjukkan modus operandi yang lebih tersusun dan terancang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dan tidak akan berkompromi dengan aktiviti penyelewengan barang kawalan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan diesel atau barang kawalan lain diminta menyalurkan aduan kepada KPDN Selangor melalui talian WhatsApp 019-848 8000 atau saluran rasmi yang disediakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast