Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan undang-undang terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan penternakan babi perlu dilaksanakan secara tegas tanpa kompromi, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan , titah baginda mencerminkan kebijaksanaan Raja Berperlembagaan yang berpaksikan tuntutan agama, kepentingan awam dan keharmonian sosial.

Justeru, titah itu tidak wajar dipandang ringan atau dibiarkan sekadar menjadi peringatan moral.

“Saya merafak sembah menjunjung kasih terhadap keprihatinan Sultan Selangor yang menitahkan pendirian tegas Baginda mengenai isu LGBT dan kontroversi penternakan babi di Selangor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hamzah merujuk titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Mufti Selangor mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti yang membabitkan gaya hidup songsang LGBT di negeri ini.

Sultan Sharafuddin menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang LGBT yang dianjurkan di negeri Selangor.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata,  titah berkenaan menuntut tindakan nyata kerajaan negeri serta agensi penguatkuasaan, bukan sekadar retorik atau alasan pentadbiran.

“Titah Baginda bukan sekadar pandangan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tadbir urus yang berkesan serta penguatkuasaan undang-undang yang konsisten dan berani,” katanya.

Hamzah menegaskan, prinsip toleransi tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan perkara yang jelas bercanggah dengan agama, nilai masyarakat dan undang-undang terus dinormalisasikan.

“Setiap dasar dan tindakan kerajaan mesti seiring dengan ketegasan mempertahankan kesucian agama, kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang,” ujarnya.

Beliau berkata, sebarang usaha menormalisasikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan agama dan nilai kemanusiaan perlu ditangani secara tegas tanpa sebarang kompromi politik.

“Kerajaan dan penguat kuasa tidak boleh bersikap longgar atau memilih jalan selamat dalam isu yang menyentuh asas moral dan jati diri masyarakat,” katanya.

Mengulas isu penternakan babi, Hamzah menegaskan ia perlu dikawal ketat mengikut peraturan sedia ada bagi mengelakkan kesan buruk terhadap alam sekitar, kesihatan awam dan sensitiviti penduduk setempat.

“Pematuhan terhadap peraturan alam sekitar, zon guna tanah dan kesihatan awam mesti dikuatkuasakan sepenuhnya, bukan sekadar atas kertas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast