KUALA LUMPUR – Kawasan Bukit Tagar yang dicadangkan Kerajaan Negeri Selangor untuk dibina pusat penternakan babi secara moden, berteknologi tinggi dan mesra alam merupakan kawasan pengumpulan sampah (landfill).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, tidak ada mana-mana `makhluk’ apatah lagi orang Melayu yang sanggup tinggal di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, jelasnya, tidak timbul isu Bukit Tagar adalah kawasan orang Melayu atau penempatan kaum-kaum lain dalam cadangan pembinaan pusat penternakan babi tersebut.
Menurutnya, perkara itu juga telah disembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Baginda amat memahami perkara tersebut.
Malah, ujar beliau, Sultan Selangor juga amat memahami menjadi keperluan untuk negeri itu menyediakan sumber makanan kepada bukan Islam memandangkan Selangor merupakan negeri berbilang kaum.
Jelasnya, dalam kontroversi berkenaan projek ternakan babi itu, ramai terlepas pandang, yang mana Kerajaan Negeri Selangor cuba menyelesaikan masalah rakyat di Tanjung Sepat dan Kuala Langat, bukan menambah lagi masalah.
Ujarnya, kerajaan negeri sebelum ini mahu menyampaikan maklumat kepada penduduk Tanjung Sepat dan Kuala Langat bahawa isu pencemaran dan bau yang menghantui penduduk sekitar ladang babi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga tahun lagi.
Kata beliau, ia selepas kerajaan negeri bersetuju memindahkan keseluruhan 116 ladang babi di Tanjung Sepat dan Kuala Langat ke satu kawasan berpusat di Bukit Tagar.
“Ramai yang memaki hamun saya berkenaan perkara ini sehingga ada yang mengatakan saya ini di ternak oleh tauke babi.
“Tak mengapa, saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan ini sehabis baik. Selebihnya hanya Allah SWT yang mampu menilainya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Izham, beliau berharap isu ladang ternakan babi itu dapat dilihat secara adil, rasional dan menyeluruh, bukan melalui lensa emosi atau sentimen semata-mata.
Katanya, apa yang diusahakan oleh kerajaan negeri adalah penyelesaian jangka panjang demi kesihatan, kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar, selari dengan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau akan terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, berpegang kepada prinsip tadbir urus yang baik serta menghormati titah dan kebijaksanaan Sultan Selangor. – MalaysiaGazette
















