Logo Polis Diraja Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan telah ditahan polis tengah malam tadi susulan soalan kontroversi yang dikemukakannya dalam satu wacana awam pada Isnin lalu.

Wacana awam itu bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” yang menampilkan ahli politik Britain, George Galloway.

Peguamnya, Rajsurian Pillai yang mengesahkan penahanan itu berkata, Tan ditahan sebaik sahaja memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Katanya, anak guamnya itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, dengan siasatan dikendalikan oleh Bukit Aman.

“Rex ditahan polis jam 12.45 tengah malam tadi dan reman dijangka dimohon pagi ini,” katanya secara ringkas ketika dihubungi.

Pillai berkata, kemungkinan anak guamnya ditahan sehari dan akan dibebaskan petang ini.

Difahamkan, Tan, 31, telah meletakkan jawatan pagi semalam, selepas dia ditahan.

Tindakan Tan yang bertanyakan soalan kontroversi itu telah menyebabkan kecaman orang ramai.

Susulan itu, Tan telah memohon maaf secara terbuka berhubung soalan yang diajukan semasa ceramah awam itu pada 12 Januari lalu.

Dia turut melahirkan rasa kesal kerana menyebut kaum Cina dan Melayu dalam soalan itu, sambil menegaskan rujukan berkenaan tidak perlu dan sepatutnya dielakkan.

Malah, Tan mengakui soalan berkenaan kurang relevan dengan acara dan tidak mengambil kira sensitiviti topik tersebut.

Sementara itu, Pengarah batan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media akan dikeluarkan nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast