KUANTAN – Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) menyeru pengunjung serta pengguna jalan raya agar lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan tumpuan awam.
Teguran itu dibuat selepas mendapati sampah dibuang merata-rata khususnya di kawasan sempadan Cameron Highlands-Lipis, Cameron Highlands-Simpang Pulai dan Cameron Highlands-Tapah yang sering menjadi lokasi persinggahan, rehat dan bergambar.
“MDCH memandang serius isu pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab di ketiga-tiga laluan masuk utama ke Cameron Highlands ini walaupun pihak MDCH telah menyediakan kemudahan tong sampah di kawasan sempadan Cameron Highlands bagi kemudahan pengunjung.
“Namun begitu, hasil pemerhatian mendapati masih terdapat segelintir individu yang membuang sampah merata-rata, sekali gus mencemarkan persekitaran serta menjejaskan imej Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan utama negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Katanya, keadaan sama turut dikesan di kawasan sempadan Cameron Highlands–Simpang Pulai dan Cameron Highlands-Tapah yang menjadi laluan popular pelancong dari negeri Perak.
Sikap tidak bertanggungjawab itu jelasnya bukan sahaja mencacatkan pemandangan semula jadi tanah tinggi, malah berpotensi menjejaskan keselamatan, ekosistem serta kesihatan awam.
“MDCH ingin mengingatkan kebersihan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama. Sikap tidak prihatin seperti membuang sampah sesuka hati bukan sahaja merosakkan keindahan kawasan peranginan malah boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap alam sekitar dan kelestarian Cameron Highlands.
“Sehubungan itu, MDCH menegaskan penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat telah berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026 sebagai langkah mendidik dan menginsafkan masyarakat,” tambahnya.
Pelaksanaan undang-undang itu katanya, bukan bertujuan mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi membentuk kesedaran, disiplin sivik serta rasa tanggungjawab dalam kalangan orang awam.
Bermula 1 Januari 2026, mana-mana individu yang didapati bersalah membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 serta hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. – MalaysiaGazette
















