SERDANG – Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan dilaksanakan Kerajaan Madani dengan tegas, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah baginda diterima baik oleh kerajaan bagi memastikan ia dilaksanakan sepenuhnya.
“Titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) jelas dan bagus, kita akan laksana dengan tegas,” katanya kepada wartawan pada sidang media selepas majlis penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Sedunia (MAEPS) hari ini.
Awal hari ini, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap skandal rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Baginda bertitah, rasuah yang berleluasa akan menghalang rancangan negara untuk maju sambil menegaskan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan segera tanpa mengira kedudukan individu yang disiasat.
“Saya kecewa kerana terdapat kes-kes rasuah dalam angkatan tentera, sehingga ke peringkat tertinggi. Nampaknya saya mungkin terpaksa melantik seorang sarjan sebagai ketua angkatan tentera.
“Ini hanyalah puncak gunung ais, saya pasti masih banyak lagi di luar sana, sama ada di jabatan kastam atau imigresen, polis dan lain-lain dan mungkin juga dalam Dewan Rakyat ini,” titahnya.
Dalam pada itu baginda bertitah, amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran dengan penglibatan aktif rakyat sebagai mata dan telinga negara, termasuk melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.
Baginda turut menekankan agar tindakan tegas dikenakan bukan sahaja terhadap penerima, malah pemberi rasuah serta ejen yang bersubahat, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Selain itu baginda turut meminta, kerajaan menyediakan hakim yang berpengalaman serta mewujudkan laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan perbicaraan kes-kes rasuah.
Langkah tersebut tegas baginda bertujuan memastikan kes dapat diselesaikan dengan segera sekali gus mengelakkan kelewatan yang boleh menjejaskan integriti proses perundangan. – MalaysiaGazette
















