P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Penafian kepimpinan DAP terhadap dakwaan kewujudan dua kem dalam parti itu terus dipersoalkan apabila beberapa perkembangan mutakhir menunjukkan wujud perbezaan pandangan dan ketegangan dalaman yang tidak boleh dinafikan.

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy menegaskan, tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kenyataannya mengenai kewujudan ‘Team A’ dan ‘Team B’ dalam DAP tidak mengubah hakikat penentangan dalaman dalam parti itu wujud.

“Sudah agak terlambat untuk Zahid menarik balik kenyataannya.

”Isunya bukan sama ada terdapat dua kem secara rasmi tetapi realiti perbezaan dan penentangan dalaman memang berlaku dalam DAP,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Menurut Ramasamy yang merupakan bekas pemimpin DAP, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke telah menafikan parti itu berpecah kepada dua kem namun pada masa sama, realitinya pada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) serta keputusan pemilihan DAP peringkat negeri khususnya di Pulau Pinang menunjukkan tahap kesepaduan parti tidak lagi seperti sebelum ini.

“Jika tiada perbezaan blok atau kecenderungan dalaman, sukar untuk menjelaskan mengapa kumpulan tertentu gagal dalam pemilihan parti di peringkat nasional dan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata, peminggiran secara beransur-ansur terhadap pemimpin dan kumpulan yang dilihat kritikal terhadap kepimpinan sedia ada semakin jelas kelihatan.

“Golongan ini mungkin tidak dominan tetapi mereka berada pada kedudukan untuk mempersoalkan hala tuju kepimpinan parti khususnya berkaitan prinsip dan idealisme asal DAP,” tegas beliau.

Mengulas reaksi sebahagian pemimpin DAP terhadap kegagalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperoleh tahanan rumah, Ramasamy berkata, tindakan itu bukan sekadar menyasarkan UMNO tetapi turut membawa mesej dalaman kepada parti.

“Kenyataan dan reaksi sedemikian juga ditujukan kepada pihak dalam DAP sendiri khususnya mereka yang dilihat terlalu berkompromi sehingga mengorbankan perjuangan asal parti,” katanya.

Beliau mendakwa, terdapat perasaan tidak puas hati dalam kalangan sebahagian ahli DAP yang semakin mengendur dalam memperjuangkan kepentingan bukan Melayu terutama masyarakat Cina.

Menurutnya, desakan untuk menghidupkan semula agenda reformasi yang dilihat semakin perlahan selepas pilihan raya negeri Sabah turut mencerminkan tekanan dalaman terhadap kepimpinan parti.

“Desakan ini bukan hanya ditujukan kepada kerajaan tetapi juga sebagai peringatan kepada DAP bahawa mandat reformasi masih belum ditunaikan sepenuhnya,” katanya.

Ramasamy berkata, pengumuman garis masa enam bulan bagi pelaksanaan reformasi oleh Anthony boleh ditafsir sebagai usaha meredakan tekanan daripada puak yang kritikal dengan syarat sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terjejas.

Beliau turut berpandangan, DAP kini lebih dilihat sebagai parti pelengkap dalam kerajaan gabungan berbanding peranan asalnya sebagai pembangkang yang lantang.

“Dengan kuasa, jawatan dan keistimewaan, DAP berisiko menjadi terlalu akomodatif sehingga kehilangan daya kritisnya,” katanya.

Walaupun menafikan kewujudan dua kem, Ramasamy berkata, kepimpinan DAP tidak wajar menolak hakikat penentangan dalaman adalah sebahagian daripada dinamika politik parti.

“Menafikan kewujudan penentangan dalaman bermakna menafikan sejarah dan realiti politik. Soalnya kini, adakah kepimpinan benar-benar bersedia mengakui wujud perbezaan pandangan dalam parti,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Adakah saya bodoh dedahkan parti sendiri? Anthony Loke tempelak dakwaan Zahid

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast