Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengingatkan semua ahli Parlimen supaya memainkan peranan dengan baik sepanjang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula hari ini di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, ia mengambil saranan seperti mana dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam.

Menurut beliau, ahli Parlimen diminta untuk sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang persidangan berlangsung hingga 3 Mac ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan jika adanya Ahli Parlimen yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.

“Saya berharap Ahli Yang Berhormat memegang teguh prinsip kesopanan dan kesusilaan seperti yang diikrarkan tadi apabila berada dalam Dewan yang mulia ini dalam setiap tindakan dan ucapan Ahli Yang Berhormat di dalam Dewan yang mulia ini.

“Di samping itu, Titah Yang di-Pertuan Agong semalam memberi peringatan mengenai peranan Ahli Yang Berhormat.

“Oleh itu, saya sekali lagi mengingatkan Ahli Yang Berhormat untuk sentiasa mematuhi peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Saya dan timbalan akan mengambil tindakan jika Ahli Yang Berhormat tidak mematuhi peraturan Mesyuarat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim melalui Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, mengingatkan semua Ahli Parlimen dan penjawat awam supaya tidak menjadi pengkhianat negara dengan menyalahguna kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah.

Mengulas lanjut, Johari memberitahu, buat pertama kalinya, Persidangan Kamar Khas akan diadakan di Dewan Persidangan bermula hari ini bagi memberi keselesaan kepada ahli Parlimen, pegawai, pelawat dan media.

Katanya, beliau juga menggalakkan ahli Parlimen dapat menjemput pelawat dari kawasan masing-masing untuk melihat sendiri Persidangan Kamar Khas sama ada di Parlimen Malaysia ataupun menonton siaran langsung di saluran YouTube Parlimen Malaysia.

“Hal ini disebabkan terdapat isu-isu yang dibangkitkan di Kamar Khas adalah bersifatkan isu setempat di kawasan Parlimen Ahli Yang Berhormat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast