KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan bagi pelaksanaan urusan kajian persempadanan semula hanya akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas tamatnya lat tempoh lapan tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam hal itu, lat tempoh lapan tahun bagi urusan kajian semula persempadanan Sarawak telah berakhir pada 21 Ogos 2023.
Katanya, pihak SPR kini berada dalam proses penyediaan syor-syor kajian semula persempadanan bagi negeri tersebut sebelum melaksanakan proses seterusnya sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kajian ini akan mengambil kira pertambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagaimana yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 7 Julai 2025 dan dikuatkuasakan pada 8 Ogos 2025.
“Bagi Sabah, tempoh lapan lapan tahun bagi kajian semula persempadanan telah berakhir pada 21 Februari 2025 lepas.
“Pada masa ini, pihak SPR masih belum memutuskan untuk memulakan urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di negeri tersebut memandangkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 baru sahaja selesai.
“Manakala bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, lat tempoh kajian semula persempadanan terdahulu akan berakhir pada 9 Mac 2026,” katanya katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Sany Hamzah (PH-Hulu Langat) yang bertanya status persempadanan baru kawasan pilihan raya bagi Parlimen dan DUN serta bilakah akan dilaksanakan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, SPR menjalankan urusan kajian semula persempadanan bahagianbahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan kepada prinsip-prinsip dan tatacara persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan serta menurut bidang kuasa SPR yang diperuntukkan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
“Berdasarkan input yang diterima daripada SPR, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat lat tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri,” katanya. – MalaysiaGazette
















