Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung dakwaan seorang murid Tahun 1 di sebuah sekolah rendah di Ampang, di sini dipukul sehingga mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung insiden itu kira-kira 2.45 petang, hari ini disusuli laporan polis berkenaan, kira-kira 3.06 petang.

Menurut beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

“Setakat ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang bapa mendakwa anaknya merupakan murid darjah satu ditampar di bahagian muka oleh seorang rakan sekelas kerana berjalan terlalu perlahan ketika ingin ke tandas.

Bapa murid berkenaan memaklumkan, ekoran kejadian itu, anaknya mengalami kecederaan yang serius pada bahagian muka. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast