KUALA LUMPUR – Beberapa pusat penjagaan kanak-kanak di bawah label Al-Kauthar Eduqids yang beroperasi di Sekysen 3 dan Kota Kemuning di Shah Alam serta Prima Puchong disiasat dan diperika Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas menerima aduan awam berhubung dakwaan pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang tular di media sosial.
Siasatan dan pemeriksaan itu dibuat pada jam 10 pagi tadi, kata JKM dalam satu kenyataan.
Menurutnya, siasatan mendapati pusat-pusat berkenaan menjalankan operasi penjagaan kanak-kanak merangkumi pelbagai kategori iaitu melibatkan kanak-kanak taska, tadika serta perkhidmatan pemulihan/terapi kepada kanak-kanak OKU.
Justeru, siasatan ini turut melibatkan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi tujuan semakan dan tindakan selanjutnya.
Menurut JKM, siasatan itu turut mendapati ketiga-tiga pusat tersebut tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
Susulan daripada penemuan ini, katanya, JKM Negeri Selangor akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan
dan tindakan ke atas ketiga-tiga pusat berkenaan.
Premis pusat-pusat tersebut juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya, kata JKM lagi.
Bagi isu yang melibatkan dakwaan penderaan kanak-kanak, perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kini berada di bawah siasatan polis.
Katanya, JKM Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan pihak Al-Kauthar Eduqids bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan menegaskan aspek keselamatan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak merupakan keutamaan tertinggi dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di negara ini.
Dalam kenyataan tersebut, JKM merakamkan penghargaan dan menyambut baik sikap prihatin serta cakna masyarakat khususnya ibu bapa yang tampil menyalurkan maklumat berhubung kebajikan dan keselamatan kanak-kanak.
Jelasnya, kerjasama ini amat penting dalam memastikan persekitaran asuhan yang selamat dan kondusif.
Pada masa sama, JKM mengingatkan ibu bapa untuk memilih dan menghantar anak ke taska yang berdaftar kerana ia tertakluk kepada pematuhan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 termasuk standard minimum keselamatan, kebersihan, kemudahan fizikal serta nisbah pengasuh yang ditetapkan.
Ini bagi memastikan taska tersebut mempunyai Plak Pendaftaran Taska yang telah diserahkan oleh pihak JKM dan wajib dipamerkan di hadapan setiap premis taska dan status pendaftaran boleh disemak menerusi portal rasmi JKM. – MalaysiaGazette
Polis minta individu tahu kes dera di taska Shah Alam tampil bantu siasatan
















