KUALA LUMPUR – Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung video tular kes penderaan di sebuah taska diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, sehingga kini pihaknya mengesan empat video tular menerusi media sosial.
Namun, setakat ini pihak polis belum menerima laporan berhubung dengan video tular itu dan masih menjalankan siasatan secara terperinci.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berhubung video tular tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Laymand Rayne di talian 014-6907071,” katanya menerusi kenyataan.
Pempengaruh Caprice menerusi Instagramnya memuat turun video mendakwa kanak-kanak autisme di sebuah taska di Shah Alam dikurung di bilik stor.
Caprice atau Ariz Ramli turut memuat turun video bayi dipaksa minum susu dalam keadaan menangis teresak-esak.
Dakwa beliau, video berkenaan dikongsi oleh bekas pelatih taska berkenaan.- MalaysiaGazette
















