KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara sedang dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) itu berkata, terdapat enam projek telah mengalami kelewatan.
“Kelewatan pelaksanaan projek-projek secara umumnya berpunca daripada beberapa faktor utama antaranya isu berkaitan tanah termasuk pengambilan balik tanah dan pencerobohan, keperluan pengalihan utiliti sedia ada serta kelewatan kelulusan teknikal yang melibatkan pelbagai agensi,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) mengenai senarai RTB berkeutamaan tinggi yang mengalami kelewatan jadual setakat Disember 2025 serta penjelasan mengenai langkah mitigasi segera.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, faktor cuaca ekstrem dan kejadian banjir luar biasa turut memberi kesan ketara terhadap kemajuan kerja di tapak.
“Petra memandang serius perkara ini dan telah mengambil langkah penambahbaikan melalui pengukuhan tadbir urus pelaksanaan projek termasuk pemantauan kemajuan projek secara lebih rapi dan berkala serta penstrukturan semula jadual kerja.
“Selain itu, penguatkuasaan terma kontrak termasuk tindakan terhadap kontraktor yang gagal mencapai prestasi ditetapkan, serta penyelarasan lebih intensif bersama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan turut dipertingkat bagi mempercepatkan proses kelulusan dan penyelesaian isu di peringkat lapangan,” katanya. – MalaysiaGazette
















