KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar yang berdepan empat pertuduhan berkaitan rasuah dan pecah amanah dibenarkan ikat jamin RM180,000 dengan seorang penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Rosli Ahmad juga menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport serta semua dokumen perjalanan, termasuk pasport diplomatik kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh juga diarahkan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan yang bakal memberi keterangan dalam perbicaraan.
Terdahulu ketika prosiding, Mohd Nizam, 60, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas ia dibacakan dan memaklumkan beliau memahami pertuduhan yang dikenakan.
Kes itu membabitkan dakwaan salah guna kedudukan bagi memperoleh suapan serta pertuduhan pecah amanah melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM3.7 juta.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memohon agar mahkamah menetapkan jaminan RM300,000 kerana perlu mengambil kira keseriusan pertuduhan serta kedudukan tertuduh sebagai bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau turut memaklumkan tiga daripada pertuduhan yang dihadapi tertuduh adalah kesalahan tidak boleh dijamin, namun menyerahkan sepenuhnya budi bicara kepada mahkamah untuk menetapkan jumlah dan syarat jaminan yang sesuai.
Menurut Ahmad Akram, pihak pendakwaan juga mengambil kira kedudukan tertuduh dalam masyarakat dan memohon supaya semua dokumen perjalanan, termasuk pasport diplomatik, diserahkan bagi mengelakkan sebarang risiko melarikan diri.
Bagaimanapun, peguam bela Abdul Aziz Hamzah merayu agar mahkamah mengenakan jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat kepada negara selama lebih empat dekad dan memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Beliau sanggup menangguhkan tiga prosedur perubatan semata-mata untuk membantu siasatan. Anak guam saya mahu menggunakan sistem keadilan untuk membersihkan namanya,” ujarnya.
Abdul Aziz turut memaklumkan anak guamnya masih menanggung ibu bapanya yang berusia dalam lingkungan 80-an, selain mempunyai rekod perkhidmatan selama 42 tahun dalam ATM.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM180,000 dengan seorang penjamin, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. -MalaysiaGazette
















