KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori bertindak duduk bersila di atas jalan hingga mendatangkan bahaya kepada pengguna di Kilometer (KM) 290 di Lebuhraya Utara Selatan arah Utara pada Sabtu.
Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Naazron Yusof berkata, pihaknya telah mengesan video sebuah video tular memaparkan kejadian itu yang dimuat naik di Facebook sekitar jam 3.55 petang.
“Siasatan polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari pada 22 Januari lalu memaparkan seorang lelaki yang juga pemandu lori meletakkan kenderaannya di lorong kecemasan.
“Lelaki tanpa diketahui bangsa telah turun dari kenderaan itu dan duduk bersila di lorong pertama di lebuhraya tanpa tujuan hingga menyebabkan berlaku kesesakkan di lokasi kejadian.
“Keadaan itu telah mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, berikutan kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Balai Polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-8911 4243.
“Serta boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















