Foto IG Rita Rudaini.

KUALA LUMPUR – Dua tokoh akademik yang mengetuai Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (Muafakat), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor masih tidak dapat menyerahkan writ saman terhadap pelakon Rita Rudaini supaya selebriti itu menjawab saman terhadapnya.

Saman berhubung kenyataan didakwa berbaur fitnah yang dikeluarkan Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad @ Mokhtar, antaranya berhubung isu ‘profesor kangkung’ membabitkan pemimpin tersebut.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi di sini memberi tempoh sebulan kepada Yang Dipertua Muafakat MRSM Sungai Besar, Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dan Naib Yang Dipertuanya, Dr Saidah Haris @ Harith untuk melaksanakan penyampaian ganti.

Peguam Datuk Adnan Seman yang mewakili kedua-dua plaintif memberitahu pihak media, writ saman tidak dapat diserahkan kepada Rita Rudaini selaku defendan di alamat terakhir yang diketahui.

Ujarnya, plaintif kemudian membuat serahan dokumen mahkamah melalui aplikasi WhatsApp kepada defendan (Rita), tetapi tiada kehadiran dimasukkan kepada mahkamah.

“Mahkamah seterusnya membenarkan permohonan penyampaian ganti bagi membolehkan saman berkenaan diserahkan melalui kaedah alternatif. Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 26 Februari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Adnan, saman itu berkaitan dakwaan Rita mengeluarkan kenyataan yang dipertikaikan termasuk melabelkan kedua-dua plaintif sebagai bongkak, narsisis, tidak profesional, ‘prof kangkung’, gila jawatan, penipu serta tidak layak menerajui pertubuhan MUAFAKAT.

Dua pensyarah berkenaan sebelum ini melalui peguam mereka berkata, saman itu difailkan selepas Rita Rudaini, 50, memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.

Menurut mereka, antara tohmahan dilemparkan termasuk mereka tidak layak memegang jawatan dalam MUAFAKAT dan tuduhan salah urus wang ibu bapa, yang timbul selepas timbul dakwaan badan itu mengenakan kadar yuran tahunan tinggi dan kos tambahan bagi aktiviti lain.

Plaintif menegaskan, kenyataan itu memberi kesan reputasi besar kepada kedua-dua mereka kerana bilangan pengikut selebriti itu dalam media sosial cukup ramai.

Plaintif juga percaya bahawa defendan bertindak secara semberono serta mempunyai niat tidak baik apabila memuat naik kenyataan tanpa membuat semakan terlebih dahulu.

Sehubungan itu, kedua-dua plaintif memohon perintah injunksi supaya defendan tidak menerbitkan kenyataan itu lagi dan permohonan maaf berbentuk video selama tiga bulan, memadamkan semua kenyataan berbaur fitnah serta ganti rugi am, teruk, pengajaran beserta faedah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast