Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bergambar bersama warga AKPS yang hadir pada Majlis Libat Urus dan Amanat 2026 Menteri Dalam Negeri bersama Warga AKPS di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA – Terdapat keperluan mendesak untuk meminda akta berkaitan hukuman kes curi kabel yang dilihat tidak setimpal dengan kerugian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam masa yang sama, syarikat operator pengendali rel juga perlu bersedia meningkatkan aspek keselamatan.

“Ada keperluan mendesak untuk kita pinda  balik akta yang berkenaan bagi mewujudkan satu, orang kata, langkah pencegahan kepada insiden (curi kabel).

“Kita juga bersetuju bahawa operator kereta api sendiri pun mesti bersedia untuk membuat pelaburan yang tinggi bagi tujuan melindungi keselamatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Libat Urus dan Aamanat 2026, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Setia Perkasa 3 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke termasuk operator termasuk Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi membincangkan isu berkenaan.

Saifuddin berkata, difahamkan, kabel yang dicuri kemudian dijual kembali di kedai besi buruk dengan kadar lebih RM30 sekilogram.

Hukuman ringan ke atas pencuri kabel yang disabitkan kesalahan dipercayai menjadi punca mereka tidak serik mengulangi jenayah berkenaan, meskipun syarikat pengangkutan awam rel rugi besar.

Manakala orang ramai berdepan kesulitan gangguan perkhidmatan.

Ia kerana hukuman penjara yang dikenakan adalah singkat manakala denda pula rendah berbanding kadar ‘keuntungan lumayan’ daripada penjualan komponen kabel yang dicuri oleh individu terbabit.

Sehubungan itu, wujud pandangan supaya hukuman berkenaan ditingkatkan.

Denda hukuman berkenaan dilaporkan antara RM1,000 atau RM2,000 dan mungkin seminggu atau dua minggu hingga sebulan penjara sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast